Friday, 5 October 2012

Luka itu



Luka itu
seakan-akan merobek hatiku
seiring dengan usia dan waktu

Ada masanya ia datang
aku menangis
terdiam sepi
kadang pula ia pergi
memberi ruang aku berdiri
sehingga adakalanya luka itu seakan sembuh sendiri

Ya Allah
Kau sembuhkanlah luka dihatiku
dalam masa sama
ku mohon kekuatan daripada-Mu
dalam mengharungi hari mendatang
supaya aku mampu berdiri teguh
dan sentiasa tersenyum
menghadapi liku hidup ini.




Tuesday, 25 September 2012

Catatan buat si pemilik tulang rusuk

Ku setia menanti

Pemilik tulang rusuk
walaupun sehingga hari ini aku masih tidak mengenali dirimu
mahupun mengetahui di mana engkau berada
namun percayalah
telah kupahat kukuh dihati
cinta ini kusimpan hanyalah untukmu.

Pemilik tulang rusuk
jangan sesekali engkau bimbang
kerana
ku berjanji 
kan sentiasa memperbaiki diri
dan memelihara maruah serta harga diri
hanya untukmu.
 
Pemilik tulang rusuk
ambillah seberapa lama masa engkau mahu
untuk kau memajukan diri
mahupun memantapkan imanmu
sebagai persediaan sebelum engkau menjadi imamku
dalam masa sama
aku berjanji 
kan setia menunggu
sehingga tiba waktunya
kita bersua.

Pemilik tulang rusuk
walau di mana engkau berada
aku sentiasa mendoakan 
semoga engkau bahagia dan berjaya
kuyakin dengan izin Yang Maha Kuasa
bila tiba masanya
apabila sudah bersedia
kita pasti kan bersua 
untuk mencipta bahagia
bersama.

Wednesday, 15 August 2012

Manusia bertopeng


Ketika zaman kanak-kanak, kulihat manusia pelbagai peringkat usia di sekelilingku kelihatan begitu indah dengan wajah mulus tanpa sebarang cacat-cela. Terpancar segala kejujuran dan kasih sayang di wajah mereka membuatkan aku berasa selamat.

Namun pabila semakin dewasa, kudapati keindahan itu semakin hilang. Berganti dengan wajah-wajah manusia berselindung di sebalik topeng-topeng menyesakkan. Pelbagai gaya dan bentuk. Manusia-manusia itu pula begitu gah memperagakan topeng-topeng dipakai mereka.

Aku? 
Topeng-topeng itu begitu jijik dimataku. Wajah-wajah bertopeng itu membuatkan aku rimas, lemas. Begitu menyesakkan.

Sebaliknya aku rindukan wajah-wajah yang penuh dengan keindahan di mana dapat kulihat erti kejujuran dan ekspresi perasaan pemiliknya dengan jelas tanpa berselindung. Pelbagai perasaan seperti marah, sedih, gembira, malu dan sebagainya terpamer jelas membuatkan aku rasa dekat. Bukan sekadar indah di mata, namun juga cantik dihati. Indah sekali.


Tuesday, 7 August 2012

Iftar

Setelah hampir enam tahun aku bermastautin di Shah Alam, hari ini (08082012) buat pertama kalinya my BFF, Farah Oden dan suaminya datang ke sini sebelum kami berbuka puasa di muara ikan bakar bersama seorang lagi rakan mereka (sorry beb, lupe nama).

Sejujurnya, aku sendiri baru menjejakkan kaki ke situ. So, thanks friends sebab ajak aku ke sana. Kalau tunggu aku pergi sendiri, sampai sudah la tak sampai. Huhuhu...

Sesampainya di sana, aku sendiri dah pening-pening lalat nak memilih sebab terdapat pelbagai jenis ikan, udang, ketam dan sotong. Tambahan pula aku ni kalau bab masak memasak memang failed. So, hanya para jejaka je yang buat pilihan. Kitorang para jejaki cuma tolong makan jer. Ok la tu kan?

Selepas selesai memilih dan membuat pesanan, kitorang pun duduk la kat meja yang ditempah. Betul-betul tepi laut diiringi angin sepoi-sepoi bahasa. Cewahhh...So, sambil-sambil nak isi masa dan tunggu waktu berbuka, kami pun berposing la...





Setelah berborak mengenai pelbagai perkara, temenung dan berkali-kali melihat putaran jam hingga mengantuk, makanan pun sampai. Mak oiii..penuh meja.








Ha...hambik kau. Tadi bukan main pilih tak hengat dunia. Tak pernah lagi dalam bulan puasa kali ini aku makan sebegini banyak. Selepas itu, order pulak aiskrim. Ishhh..hancur diet i dek non...huhuhu. Tapi memandangkan bukan selalu aku keluar dengan dorang ni, layan je la...

Selesai makan, perut kenyang, hati senang. Lepas aku dibawa melihat sebuah kapal terdapat di situ dan bergambar sebagai kenang-kenangan, kitorang pun balik. Hampir jam 10 malam, baru aku sampai ke rumah.

Apepun,thanks sahabat sebab sanggup luangkan waktu untuk berbuka puasa bersama-sama walaupun pada hari korang bekerja. Korang memang best. Hopefully selepas ini ada lagi peluang untuk kite lepak bersama lagi. Love uolsss...muahhhh.









Monday, 6 August 2012

Bahana lupa

Assalamualaikum w.b.t

Setelah berbulan-bulan lamanya, akhirnya aku ambil keputusan untuk buat blog baru. Puncanya? Lupa. Yap. Aku terlupa password e-mel aku menyebabkan aku kena buat e-mel lain. Itulah musibahnya kalau ada banyak sangat e-mel. Macam-macam password dan cara aku guna, semua gagal. Akhirnya, senang cerita, buat baru. Fullstop.

Kadang-kadang terfikir juga, banyak sangat ke aku makan semut? Sampai makin teruk penyakit aku nih. Paling penting, kesian semut-semut tu jadi makanan aku. Hahaha...

Memang semenjak dua menjak ni aku begitu bersemangat nak menulis dan kongsikan cerita aku. TETAPI, semangat tu hilang gara-gara penyakit lupa aku alami. Mula-mula memang dah give up, tapi tadi tiba-tiba terajin pulak. Siap curi-curi buat blog kat ofis dan copy catatan aku sebelum ini. Tapi selepas semua kerja siap la, tak baik tau curi tulang waktu bekerja. Mesti korang kata macam good-good je dia ni. Ada aku kisah? Huhuhu...

Aku dah cuba buat password yang mudah diingati. So, aku harap perkara sama tak berulang lagi. Kalau lupa juga, tak tau la nak buat apa. Hempuk je kepala kat pokok pisang gamaknya, biar cepat ingat. Erkkk...

Ok, setakat ni je karutan aku kali ni. Kalau panjang sangat, bukan korang je jemu, aku pun jemu gak. So, selamat malam.


Diam

Diam
Bukan bermakna aku mengalah
Bukan juga beerti aku kalah
Kerana
Kadangkala diam itu lebih baik daripada bersuara.

Aku

Aku
Aku pernah lalui jalan berliku. Namun aku yakin, pasti ada insan lain yang punya jalan lebih berliku daripadaku.
Aku mengambil masa lama untuk mencapai sesuatu dalam hidupku. Kadangkala aku kecewa, berasa tertinggal jauh. Namun pabila kubayangkan wajah-wajah yang pernah hadir dalam hidupku, kekecewaan aku hilang.
Jika ini tidak ditakdirkan untukku, pasti aku tidak menemui wajah-wajah itu. Alhamdulillah.

Aku
Aku juga pernah kehilangan, pernah jatuh tersungkur hingga tidak mahu lagi bangun. Menangis juga tidak mampu. Tanggungjawablah yang membuatkan aku sedar, aku perlu teruskan hidup demi insan-insan kesayangan. Kerana itu, hatiku kini menjadi sekeras batu.

Siapa aku?
Aku hanyalah insan kerdil yang punya cita-cita tinggi melangit.
Kadangkala tewas dengan godaan nafsu dan perasaan.
Mudah tersasar jika alpa.

Permulaan kisah

Bismillahhirrahmanirrahim..


Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya aku ada di sini.

Nyata pilihan yang aku buat sebelum ini untuk menemani seorang rakan, memberi aku pengalaman yang tidak ku sangka sekali gus menguatkan semangatku untuk mencoret di sini.Terima kasih kepada teman yang menjadi pembuka jalan untuk aku memulakan langkah kecil ini.

Bertahun ku mencari kekuatan untuk menzahirkan isi hatiku di sini. Namun pada awal pagi hari ini,ku kuatkan hati untuk mengorak langkah setelah lama bertangguh.

Apa yang ingin ku coretkan...
Adakah masalah politik negara?
Adakah mengenai kegilaan manusia yang semakin gila? atau...
Adakah mengenai keindahan cinta?
Ahhh...aku sendiri tidak pasti.

Paling aku pasti, inilah permulaan kisahku di sini....